Pages

Jun 13, 2009

Bersabarlah wahai sahabat-sahabatku...





Bersabarlah wahai sahabat-sahabat ku…

Bersabarlah wahai sahabat-sahabatku… Kita ini diibaratkan sebagai tombol pintu. Menjadi hak kita untuk membuka pintu itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Tahanlah pintu itu dari mereka yang belum menjadi hakmu. Jagalah pintu itu sebaik-baiknya sehingga yang hak itu menjadi halal bagimu…

C.I.N.T.A…
Ketika naqibah saya menjadi salah seorang panel bagi salah satu forum tentang cinta nie, dia ada bagi maksud disebalik CINTA ni.
C = Cinta
I = Itu
N = Nafsu
T = Tanpa
A = Agama
Cinta itu adalah salah satu fitrah insani, namun apabila disusuli dengan tindak-tanduk yang tidak diredhai Allah, maka ia akan menjadi fitnah. Natijahnya, Cinta Itu Nafsu Tanpa Agama. Ramai antara kita terperangkap dengan salah satu ‘produk’ syaitan nie, iaitu couple. Ramai yang beranggapan, kena bercinta dulu, kalau tak macam mane nak kenal hati budi. Sedarlah wahai sahabat-sahabat… itu semua adalah antara panahan syaitan untuk menampakkan yang haram itu indah. Allah juga ada berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat yang ke 14 yang bermaksud:

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diingankan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah ladang.”


Tahanlah diri kita daripada terjerumus ke lembah maksiat. Dan ada yang berkata,

“Kita orang bercinta ikut cara Islam kak… Tak de keluar berdua-duaan, tak pernah pegang tangan… Kalau mesej pun kita orang selalu mesej-mesej tazkirah, kejutkan untuk qiam… kan tu semua benda-benda yang baik kak?”

Hm… kira nak kate couple Islamik lar nie. Memang, benda yang baik, kejutkan qiam, tazkirah. Tapi kan masih ada sahabat-sahabat yang sama jantina boleh tolong ingatkan kita? Itulah maksudnya panahan syaitan. Kita nampak perkara tu baik, tapi adik-adik serta sahabat-sahabat ku, cara yang kita gunakan tu tak syara’. Kita tak jumpa berdua-duaan, dah dapat elakkan maksiat tangan dan kaki, tapi maksiat hati?? Yang kita konon-kononnya rindu tu, kan maksiat hati? Walaupun nampak cam kecik jer… maksiat tetap maksiat. Adik-adik serta sahabat-sahabat yang tersayang, mari same-same kita renungi serta hadamkan dengan baik firman Allah nie,

“Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh satu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al-Isra’ : 32)

Allah kate jangan mendekati zina… Dan ketahuilah, bercouple itu merupakan salah satu pintu kepada perbuatan zina. Dan ini bermakna couple itu merupakan perbuatan untuk mendekati zina. Maka, usiklah hati kita, dan tanyalah iman kita…

Hati manusia nie kalau tak cintakan Allah dan RasulNya, natijahnya akan meletakkan cinta selain kepada Allah dan RasulNya dalam hati. Dan kadang-kadang kita tak perasaan dan leka yang kita mencintai sesuatu selain Allah dan RasulNya melebihi perasaan cinta kita pada Allah dan Rasul. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat yang ke-165 yang bermaksud :

“Dan ada di antara manusia, ada yang menyembah tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah..”

Wahai sahabat-sahabat sekalian, bayangkan di akhirat kelak Allah bertanya, adakah kita menyembah Dia atau selainNya? Dan jika syarat menyembah itu adalah dengan menyintai… bayangkan jika kita yang sering mengikut telunjuk hawa nafsu nie berbanding mentaati perintah Allah s.w.t… astaghfirullah… Moga Allah sentiasa mengampuni dosa-dosa kita semua. Insya-Allah…

Teguhkanlah cinta kita hanya pada Allah s.w.t. Kerana cinta Allah tiada kepura-puraan, cinta Allah adalah cinta yang kekal abadi. Saya ambil sedikit bait-bait lagu nasyid nyanyian kumpulan In-Team yang bertajuk “Cintailah Ilahi”.

“Jika engkau mencintai bunga,
Sedarlah engkau bunga itu akan layu.
Jika engkau cintakan manusia,
Sedarlah satu hari dia akan pergi,
Jika engkau mencintai harta,
Harta itu nanti kau akan tinggalkan,
Jika engkau cintakan Ilahi,
Hanya Dia yang akan kekal abadi…
Cintailah Ilahi…”

Jika seseorang itu mencintai Allah, dia tidak akan berbuat maksiat. Dia takut untuk mengajak kaum yang berlainan jantina untuk keluar, kerana dia tahu syaitan akan menjadikannya sebagai salah satu wadah untuk membuat maksiat dan dia tahu bahawa Allah akan murka padanya… dan dia juga sedar yang dia tidak akan tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman.

Dan dia sangat memahami ayat hijab yang Allah turunkan pada kita semua melalui Surah Al-Ahzab ayat yang 53. Dan dia sangat akur yang dia perlu menundukkan pandangannya setiap kali berada di hadapan sesiapa sahaja melalui Surah An-Nur ayat yang ke 30-31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Mengetahui apa yang mereka buat………………”

Pernah dengar tak pepatah melayu yang mengatakan, “Dari Mata Turun Ke Hati”. Ini bermaksud dari pandangan matalah akan berlakunya pelbagai bentuk zina yang lain… Maka amatlah perlu untuk kita menjaga pandangan mata kita dari menjadi panahan-panahan syaitan untuk ke arah maksiat.

Kita tidak perlu cemburu jika ada sahabat-sahabat kita yang lain yang larut dan hanyut dalam alam percintaan buatan mereka sendiri. Mereka sebenarnya terperangkap dalam penjara cinta yang dicipta oleh syaitan laknatullah. Mereka dibelenggu oleh perasaan yang tak mampu mereka keluar dari itu. Kita perlu ambil usaha untuk membantu mereka, bawa mereka untuk kenal Allah… Kenal cinta Allah… Kerana cinta manusia adalah cinta yang penuh dengan kepura-puraan, yang sering menggundah gulanakan hati dan perasaan kita, dan kebahagiaannya hanya bersifat sementara, kerana kebahagiaan yang hakiki adalah apabila mendapat redha TuhanNya, dan itu mengatasi segala-galanya. Jika kahwin adalah matlamat utama dalam sesebuah perhubungan, tidak semestinya ianya akan menjanjikan kebahagiaan yang hakiki. Bagaimana mahu membina sebuah perkahwinan yang penuh dengan barakah jika jalan menuju nya dipenuhi dengan maksiat?

Sayang…
Jiwa pemuda yang sepatutnya berkibar bak singa di padang pasir dan berkobar dalam menegakkan kalimah Allah menjadi kuncup kerana terjerat dengan percintaan.

Sayang…
Jiwa pemudi yang sepatutnya disirami dengan semangat juang dalam mengembalikan sinar Islam serta jiwa yang disaluti dengan kesopanan dan kesolehan menjadi kotor dek cinta..

Sepatutnya kita mengimpikan perkahwinan yang barakah… Dan perkahwinan yang barakah hanya akan dimiliki apabila awal perkahwinan itu sendiri turut diberkati, mengikut syara’, bebas dari nafsu syahwat. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Tiada yang lebih membahagiakan dua orang yang saling menyukai kecuali menikah”
–Hadis riwayat Suyuti-


Tetapi bukanlah bererti tidak ada cara nak approach teman hidup. Jika kita benar-benar bersedia untuk berumah tangga, maka mintalah tolong orang tengah. Dan amalkan lar doa yang diajarkan Nabi s.a.w. :

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Furqan :74)

Benar, memang susah untuk kita mengawal hawa nafsu. Lebih-lebih lagi bila berada di alam remaja, dan fenomena pada hari ini dimana maksiat berlaku secara berleluasa. Kerana itu Rasulullah sarankan kepada sesiapa yang mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah. Jika tidak mampu untuk berkahwin, maka berpuasalah. Kerana berpuasa itu dapat menurunkan kehendak hawa nafsu.

Sahabat-sahabat sekalian,
Letaklah Allah dalam hati kita di tempat yang paling atas, kerana mereka yang bersama Allah tidak akan pernah berasa kesepian dan keseorangan. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

“Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Allah memasukkan kecintaan ke dalam hati para malaikat. Jika Allah membenci terhadap seorang hamba, maka Allah memasukkan kebencian ini ke dalam hati para malaikat, kemudian memasukkan pula ke dalam hati manusia”
-Riwayat Anas-

Sabarlah wahai sahabat-sahabat sekalian, jagalah hati kita. Sematkan di hati bahawa cinta kita hanya untuk insan yang halal buat kita, selepas cinta Allah dan Rasul. Peganglah kepada hadis junjungan yang kita kasihi,

“Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid.”
-Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami, dan lain-lain-

Teguhkanlah cinta kita pada Ilahi, nescaya cinta si dia yang soleh turut kau miliki…

Sahabat-sahabat sekalian, nasihatkan aku dikala aku terlupa. Jika kau menyintai nasihat, maka nasihatkanlah aku setiap masa…

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...