Pages

Mar 5, 2010

Ke Arah Membina Keluarga Acuan Islam


Salam 'alaik.. Kali ini, saya akan kongsikan sedikit tips-tips untuk menuju ke alam rumahtangga terutamanya buat golongan yang masih belajar atau mahasiswa. Tips-tips ini diperoleh daripada forum yang bertajuk MAHASISWA BERUMAHTANGGA yang disampaikan oleh Ustazah Siti Nor Bahiah dan suaminya, Ustaz Wan Akashah, yang mengacarakan rancangan semanis kurma di TV9. Tips-tips nya ialah :
1. Pemilihan Jodoh
Pelbagai alasan yang boleh kita cipta dalam soal kriteria pemilihan jodoh. Boleh jadi 'si dia' itu cantik orangnya, atau 'si dia' itu berpelajaran tinggi... boleh jadi juga 'si dia' itu kaya, 'si dia' juga baik budi pekerti, sopan santun dan sebagainya. Namun ketahuilah bahawa sebab-sebab itu semua hanya bersifat sementara. Umpama pelangi, cantiknya hanya seketika... Dan aspek atau kriteria yang perlu dititik beratkan dalam soal pemilihan jodoh ialah AGAMA yang ada pada seseorang itu. Saya bawa satu kisah mengenai Imam Malik. Suatu hari, orang bertanya kepada ayah Imam Malik.. "Apakah rahsia tuan mendidik anak tuan sehingga menjadi orang yang hebat?". Jawab ayah Imam Malik ialah, "aku memilih ibunya dahulu." Jika seorang wanita itu memahami tuntutan agamanya, maka ia akan memahami setiap tanggungjawab yang dipikul olehnya sehingga dapat mendidik anak dan menghiasi rumahtangga dengan acuan Islam yang sebenarnya.

2. Perkahwinan yang mengikuti syariat
Majlis perkahwinan juga menjadi satu elemen penting dalam menentukan kebahagiaan rumahtangga. Apabila majlis yang dilaksanakan mematuhi syariat, pasti ianya juga akan diiringi dengan Redha Allah s.w.t. Buat wanita, janganlah meletakkan mahar atau hantaran yang terlalu tinggi buat pihak si suami. Cukuplah sekadar kemampuan si suami itu. Janganlah hanya kerana ingin mengadakan majlis perkahwinan yang indah, maka terpaksa berhutang pula. Pastikan majlis itu nanti mematuhi syariat, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tiada hiburan-hiburan yang melampau dan yang paling penting jangan sampai lupa waktu solat dek kerana sibuk sangat melayani tetamu.

3. Peranan suami dan isteri.
Perlu diingat bahawa perkahwinan itu satu ibadah. Ianya merupakan sunnatullah. Perkahwinan umpama medan luas untuk menuai benih-benih pahala-pahala. Oleh itu, suami dan isteri wajib mengetahui peranan masing-masing. Buat wanita, Saidatina Khadijah merupakan role model yang paling ideal sebagai ikon isteri solehah. Begitu istimewanya Saidatina Khadijah sehingga malaikat jibril dan Allah s.w.t menyampaikan salam kepada Saidatina Khadijah. 2 perkara yang Allah sukai pada Saidatina Khadijah sehingga Allah menyediakan satu istana dalam syurgaNya ialah (1)Layanan baik oleh Khadijah kepada Muhammad s.a.w dan (2) tutur kata yang lemah lembut kepada Muhammad s.a.w. Jadi, untuk menjadi isteri yang solehah, isteri haruslah TAAT dan HORMAT pada suami selagi suami tidak melakukan perkara yang mungkar. Dan buat suami pula, anda mestilah MENJADI PEMIMPIN, iaitu membimbing isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah. Dan suami juga perlu MEMBERI NAFKAH PADA ISTERI walau isteri anda bekerja.

4. Pendidikan anak-anak.
Ibu dan bapa perlulah mempunyai ilmu. Sebagai contoh, jika seseorang belajar dalam bidang perubatan, adakah kita akan mengajar anak-anak kita tentang perubatan? Di sini, ilmu agama sangat penting. Ibu bapa perlu tahu mendidik anak-anak dengan acuan Islam yang sebenarnya. Saya bawa satu kisah, dimana seorang ayah yang sangat alim, bijak dan pandai.. Si ayah ini sudah hampir menuju ke syurga. Dalam perjalanan menuju ke syurga, si ayah ditarik oleh isteri dan anak-anaknya yang sedang berada di neraka. Ini kerana sewaktu hidup, si ayah tadi tidak pernah mengajar isteri dan anak-anaknya untuk solat, tidak pernah menegaskan tentang aurat sehingga si isteri dan anak-anak tidak mengenal Allah. Maka akhirnya, si ayah yang sudah hampir masuk ke syurga tadi dicampakkan ke dalam neraka kerana tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab semasa di dunia.

5. Peranan anak-anak.
Walaupun anda sudah menjadi isteri ataupun suami, tetapi jangan sesekali lupa pada ibu dan ayah yang telah melahirkan dan membesarkan kita. Buat si isteri, janganlah halang suami anda untuk melakukan kebaikan kepada ibu dan ayahnya. Dan buat si suami, janganlah halang si isteri untuk membuat kebaikan kepada ibu dan ayahnya. Ketahuilah wahai para isteri, syurgamu terletak di telapak kaki suami, dan syurgamu wahai suami, terletak di bawah telapak kaki ibu.

6. Persediaan untuk bertemu dengan Allah.
Perbanyakkan amalan. Kerana amalan-amalan yang baik, akan menjadikan kubur kita terang. Doa anak yang soleh juga akan menjadikan kubur ibu bapa mereka terang. Buat suami, redha lah pada setiap tindakan isteri anda.. Dan buat isteri, redha lah pada setiap tindakan suami anda. Pasakkan keyakinan hanya padaNya.

Akhirnya, untuk mendapat pasangan yang soleh atau solehah, PERBAIKI DIRI anda. BERBUAT BAIKLAH kepada kedua ibu bapa jika mereka masih hidup, dan SENTIASA DOAKAN MEREKA.. Semoga dengan terbinanya keluarga yang mengikut acuan Islam, maka akan lahirlah pejuang-pejuang agama Allah yang akan terus menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...