Pages

Mar 18, 2010

Adik-adikku... Insya-Allah boleh....!!

Salam Islah dan salam perjuangan... Selawat dan salam buat junjungan agung yang sentiasa dirindui, Rasulullah s.a.w, kaum kerabat baginda, para sahabat baginda, serta semua penerus perjuangan dalam menegakkan panji Islam di muka bumi Allah ini. Alhamdulillah... bersyukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t...

Pada akhir ini, kita dapat lihat berbagai program realiti tv yang saya tidak tahu ke mana arah tujunya... Dengan Akademi Fantasia yang sentiasa menjadi fantasi anak-anak muda yang kononnya dalam merealisasikan impian dan melahirkan bintang... Hmm... bintang??? Yup.. bintang yang akan terus bersinar dalam membawa hati remaja-remaja Islam makin jauh dari Tuhannya... Dengan idola kecil, yang saya rasa merosakkan fikiran anak-anak kecil... Mentor, One in a million, dan bermacam-macam lagi...

Sayang... jiwa-jiwa pemuda yang sepatutnya berkobar bak singa di padang pasir dan berkibar megah dalam menegakkan panji-panji Islam menjadi kuncup kerana terlalu cintakan dunia...

Sayang... jiwa pemudi yang sepatutnya disirami dengan semangat juang dalam mengembalikan sinar Islam serta jiwa yang disaluti dengan kesopanan dan kesolehan menjadi kotor dek kerana terlalu mendambakan dunia...

Dalam keadaan ummat akhir zaman ini yang sedang hebat dihambat dengan pertambahan program-program berunsur dan bercirikan maksiat ini, akhirnya hati ini diubati dengan suara-suara halus yang lantang dalam berhujah, tubuh-tubuh kecil yang mempunyai jiwa-jiwa yang besar dalam memperjuangkan Deenul Haq, Islam yang kita cintai... Ya... wajah-wajah polos dan suci mereka menggambarkan betapa mereka sudah siap sedia untuk terjun ke medan dakwah sekali gus menjadi 'penawar' buat ummat akhir zaman yang sememangnya berada dalam kondisi 'nazak'..

Mereka inilah para 'doktor' yang akan merawat hati-hati ummat yang 'sakit' di akhir zaman ini..

Mereka inilah para 'juruterbang' yang akan memandu ummat akhir zaman yang telah jauh tersesat dari Al-Quran dan Sunnah....

DAN....

Mereka inilah para 'peguam' yang akan membela dan menegakkan panji-panji Islam di saat ummat akhir zaman yang telah hanyut dalam lembah-lembah taghut...

Siapakah mereka??

Merekalah insan-insan yang telah dipilih oleh Allah s.w.t untuk meneruskan risalah Islam, mereka 'dilahirkan' dan 'diasuh' di rancangan realiti ADIK-ADIKKU terbitan TV1.

Duhai adik-adikku mata rantai perjuangan Islam... jagalah hati kalian yang suci itu. Gunalah ia demi kebaikan ummat... Gunalah kehebatan kalian dalam berhujah untuk menyentuh hati-hati yang jauh dari Sang Pencipta agar kembali mengingatiNya... Kalian adalah permata Islam yang telah dipilih oleh Allah s.w.t untuk menggeggam bara Islam... Semoga kalian semua berada dalam lindungan dan Rahmat Allah s.w.t..

Sekalung tahniah buat finalis adik-adikku... adik Wajih, adik Qayyim, adik an-Naim, adik Amin al-Hadi, adik Syafiqah, adik Syamira dan adik Wina... Kalian semua adalah pemenang.... Semoga menjadi pengisi kepada kemenangan Islam kelak.. Tidak lupa juga kepada semua peserta adik-adikku musim pertama... Antum hebat... =)

Teringat ketika adik Wajih diumumkan sebagai pemenang, betapa basah bibirnya dalam mengucapkan alhamdulillah.... Serius.. tersentuh sangat time tuh... Dan tentunya dengan kehadiran adik Qayyim... walaupun kekurangan yang ada pada dirinya, namun hatinya sangat bersih dan cerah... Dia memiliki hati yang sangat celik. Subhanallah...

Para peserta bersama Murabbi masing-masing...


SEMOGA PROGRAM ADIK-ADIKKU DITERUSKAN LAGI KE MUSIM SETERUSNYA...

Mar 16, 2010

Islam is the only way of Life..


Rasa terkilan dan sedih di hati ini, tatkala melihat kemungkaran dan kemaksiatan saban hari makin bercambah… Seolah-olah seperti mencabar hukum Tuhan. Hatta di negara yang kononnya mengisytiharkan sebagai negara Islam… Keruntuhan akhlak saban hari menjadi santapan kita.

Wahai saudaraku,
Ketahuilah bahawa syaitan sentiasa menampakkan perkara yang indah atas kemaksiatan yang kita lakukan...

Melampau-lampau dalam berhibur... Bercampur lelaki dan perempuan seolah-olah perkara biasa. Terjerit, terloncat, terkinja bagaikan mereka yang tiada maruah, apatah lagi akhlak. Dan sangat keterlaluan apabila saat azan berkumandang, masih terus melayan alunan muzik yang sememangnya menjauhkan manusia daripada mengingati Sang Pencipta...

Islam tidak pernah menghalang kita untuk berhibur. Betapa cantik dan indahnya Islam dalam memelihara kehormatan dan kesucian kita apabila meletakkan garis panduan dalam berhibur.

Wahai saudara seaqidahku,
Mereka yang menggenggam bara Islam, yang ingin meletakkan kefahaman yang betul kepada ummat Islam sendiri dianggap sebagai penyibuk, dianggap pengganas, malah dilabel juga sebagai ’extremist’. Andai mereka yang ingin membawa risalah Islam, mendukung kebenaran dan mahu menegakkan perintah Allah dianggap ’ekstrem’, bukankah mereka yang sengaja mahu melanggar perintah Allah, yang sengaja mengikut jalan kemungkaran dan taghut kita gelarkan juga sebagai ’ekstrem’? Ya... Mereka ini juga ’ekstrem’... ’Ekstrem’ dalam melakukan kemungkaran.. Tidak layakkah begitu??

Wahai saudara segamaku,
Para pendokong yang membawa ummat Islam supaya kembali kepada Islam dianggap kolot, tak trendy, mundur dan ketinggalan zaman. Di mana boleh ku lihat Islam? Di masjid-masjid, surau-surau, akad nikah, zakat, puasa... Tidakkah kalian tahu bahawa Islam itu adalah kehidupan? Dan kehidupan adalah Islam?

Tidakkah lebih jelik pabila ketika ada segolongan pihak yang ingin membuat tugas menyedarkan ummat tentang hakikat Islam ini dihalang dengan kuatnya. Tetapi mereka yang ingin melakukan konsert, pesta, keraian yang bukan-bukan dibenarkan dengan sesuka hatinya? Maka dimanakah kononnya Islam yang dilaung-laungkan itu?

Adakah Islam itu hanya tertegak dengan kata? Adakah Islam itu tertegak hanya dengan ceramah dan jualan air liur sahaja?

Wahai saudara seislamku,
Islam itu adalah kehidupan kita. Saat kita mengucapkan syahadah, kita sebenarnya telah berjanji dan berikrar untuk menerima dan mengamalkan Islam secara menyeluruh.

Tidak ada istilah Islam hanya untuk di masjid-masjid sahaja, tidak ada istilah ”Part time Muslim”... Islam itu syumul, lengkap dan menyeluruh. Sesuai diamalkan sepanjang zaman.

Segalanya dari aspek kehidupan seharian, pemerintahan malah kematian. Ketika kita bersyahadah, kita telah berikrar pada aqidah kita dan juga kita juga berikrar bahawa kita sanggup mengikut Islam ini.

Adakah syahadah kita hanya sekadar lafaz kosong?? Sama-sama muhasabah diri kita kembali...


Ayuh wahai generasiku... Bangkit bersama dalam menjulang Islam ke tempat yang paling tinggi.. Kita sama-sama kembali kepada Islam... Amalkan Islam secara keseluruhannya... Ingatlah bahawa saat murka Allah itu tiba, ia tidak mengira soleh atau tidak seseorang itu.. Lihat sahaja tsunami... Semuanya dibawa pergi oleh ombak..


Renung dan fikirkan bersama...

Mar 5, 2010

Ke Arah Membina Keluarga Acuan Islam


Salam 'alaik.. Kali ini, saya akan kongsikan sedikit tips-tips untuk menuju ke alam rumahtangga terutamanya buat golongan yang masih belajar atau mahasiswa. Tips-tips ini diperoleh daripada forum yang bertajuk MAHASISWA BERUMAHTANGGA yang disampaikan oleh Ustazah Siti Nor Bahiah dan suaminya, Ustaz Wan Akashah, yang mengacarakan rancangan semanis kurma di TV9. Tips-tips nya ialah :
1. Pemilihan Jodoh
Pelbagai alasan yang boleh kita cipta dalam soal kriteria pemilihan jodoh. Boleh jadi 'si dia' itu cantik orangnya, atau 'si dia' itu berpelajaran tinggi... boleh jadi juga 'si dia' itu kaya, 'si dia' juga baik budi pekerti, sopan santun dan sebagainya. Namun ketahuilah bahawa sebab-sebab itu semua hanya bersifat sementara. Umpama pelangi, cantiknya hanya seketika... Dan aspek atau kriteria yang perlu dititik beratkan dalam soal pemilihan jodoh ialah AGAMA yang ada pada seseorang itu. Saya bawa satu kisah mengenai Imam Malik. Suatu hari, orang bertanya kepada ayah Imam Malik.. "Apakah rahsia tuan mendidik anak tuan sehingga menjadi orang yang hebat?". Jawab ayah Imam Malik ialah, "aku memilih ibunya dahulu." Jika seorang wanita itu memahami tuntutan agamanya, maka ia akan memahami setiap tanggungjawab yang dipikul olehnya sehingga dapat mendidik anak dan menghiasi rumahtangga dengan acuan Islam yang sebenarnya.

2. Perkahwinan yang mengikuti syariat
Majlis perkahwinan juga menjadi satu elemen penting dalam menentukan kebahagiaan rumahtangga. Apabila majlis yang dilaksanakan mematuhi syariat, pasti ianya juga akan diiringi dengan Redha Allah s.w.t. Buat wanita, janganlah meletakkan mahar atau hantaran yang terlalu tinggi buat pihak si suami. Cukuplah sekadar kemampuan si suami itu. Janganlah hanya kerana ingin mengadakan majlis perkahwinan yang indah, maka terpaksa berhutang pula. Pastikan majlis itu nanti mematuhi syariat, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tiada hiburan-hiburan yang melampau dan yang paling penting jangan sampai lupa waktu solat dek kerana sibuk sangat melayani tetamu.

3. Peranan suami dan isteri.
Perlu diingat bahawa perkahwinan itu satu ibadah. Ianya merupakan sunnatullah. Perkahwinan umpama medan luas untuk menuai benih-benih pahala-pahala. Oleh itu, suami dan isteri wajib mengetahui peranan masing-masing. Buat wanita, Saidatina Khadijah merupakan role model yang paling ideal sebagai ikon isteri solehah. Begitu istimewanya Saidatina Khadijah sehingga malaikat jibril dan Allah s.w.t menyampaikan salam kepada Saidatina Khadijah. 2 perkara yang Allah sukai pada Saidatina Khadijah sehingga Allah menyediakan satu istana dalam syurgaNya ialah (1)Layanan baik oleh Khadijah kepada Muhammad s.a.w dan (2) tutur kata yang lemah lembut kepada Muhammad s.a.w. Jadi, untuk menjadi isteri yang solehah, isteri haruslah TAAT dan HORMAT pada suami selagi suami tidak melakukan perkara yang mungkar. Dan buat suami pula, anda mestilah MENJADI PEMIMPIN, iaitu membimbing isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah. Dan suami juga perlu MEMBERI NAFKAH PADA ISTERI walau isteri anda bekerja.

4. Pendidikan anak-anak.
Ibu dan bapa perlulah mempunyai ilmu. Sebagai contoh, jika seseorang belajar dalam bidang perubatan, adakah kita akan mengajar anak-anak kita tentang perubatan? Di sini, ilmu agama sangat penting. Ibu bapa perlu tahu mendidik anak-anak dengan acuan Islam yang sebenarnya. Saya bawa satu kisah, dimana seorang ayah yang sangat alim, bijak dan pandai.. Si ayah ini sudah hampir menuju ke syurga. Dalam perjalanan menuju ke syurga, si ayah ditarik oleh isteri dan anak-anaknya yang sedang berada di neraka. Ini kerana sewaktu hidup, si ayah tadi tidak pernah mengajar isteri dan anak-anaknya untuk solat, tidak pernah menegaskan tentang aurat sehingga si isteri dan anak-anak tidak mengenal Allah. Maka akhirnya, si ayah yang sudah hampir masuk ke syurga tadi dicampakkan ke dalam neraka kerana tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab semasa di dunia.

5. Peranan anak-anak.
Walaupun anda sudah menjadi isteri ataupun suami, tetapi jangan sesekali lupa pada ibu dan ayah yang telah melahirkan dan membesarkan kita. Buat si isteri, janganlah halang suami anda untuk melakukan kebaikan kepada ibu dan ayahnya. Dan buat si suami, janganlah halang si isteri untuk membuat kebaikan kepada ibu dan ayahnya. Ketahuilah wahai para isteri, syurgamu terletak di telapak kaki suami, dan syurgamu wahai suami, terletak di bawah telapak kaki ibu.

6. Persediaan untuk bertemu dengan Allah.
Perbanyakkan amalan. Kerana amalan-amalan yang baik, akan menjadikan kubur kita terang. Doa anak yang soleh juga akan menjadikan kubur ibu bapa mereka terang. Buat suami, redha lah pada setiap tindakan isteri anda.. Dan buat isteri, redha lah pada setiap tindakan suami anda. Pasakkan keyakinan hanya padaNya.

Akhirnya, untuk mendapat pasangan yang soleh atau solehah, PERBAIKI DIRI anda. BERBUAT BAIKLAH kepada kedua ibu bapa jika mereka masih hidup, dan SENTIASA DOAKAN MEREKA.. Semoga dengan terbinanya keluarga yang mengikut acuan Islam, maka akan lahirlah pejuang-pejuang agama Allah yang akan terus menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...